masa itu emas

ONLINE

Monday, September 28, 2009

ALAM MAHSYAR

ALAM MAHSYAR

1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yg lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”. Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yg kembang membesar dari biji benih.

5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta’ala. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

10. Terdapat satu kolam (
حوض ) kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

1. Pemimpin yang adil.
2. Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
3. Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.
4. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
6. Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
7. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Ta’ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah Ta’ala. Lalu diperkenankan doa baginda.

14. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

15. ‘Arasy (
عرش ) ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

16. Kursi (
كرسي ) iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

17. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

18. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

19. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

20. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

21. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

22. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

23. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

24. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata-kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah
Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

25. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

26. Syafaat Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat :
a. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
b. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
c. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta’ala.
27. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

28. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

29. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

30. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-Fathani. Pustaka
Nasional Singapura 2004.

Thursday, September 17, 2009

A Beautiful Hadith

A Beautiful Hadith


Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) said: 'When a man dies and his relatives are busy in funeral, there stands an extremely handsome man by his head. When the dead body is shrouded, that man gets in between the shroud and the chest of the deceased.

Thereafter he turns to his dead companion and says, 'I am the Qur'an, which you used to read, sometimes in a loud voice and sometimes in a low voice. Do not worry. After the interrogation of Munkar and Naker, you will have no grief..'
When the interrogation is over, the handsome man arranges for him from Al-Mala'ul A'laa (the angels in Heaven) silk bedding filled with musk.
Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) said: 'On the Day of Judgement, before Allah, no other Intercessor will have a greater status than the Qur'an, neither a Prophet nor an angel.
Please keep forwarding this 'Hadith' to all ....because
Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) said:
'Pass on knowledge from me even if it is only one verse'..

May Allah bestow this favour on all of us.

Terjemahan:-

A Beautiful Hadith

Hadis yang Menarik


Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda : 'Bila seseorang lelaki itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya, berdiri lelaki yang betul-betul kacak di bahagian kepalanya. Bila mayatnya dikapan, lelaki itu berada di antara kain kapan dan si mati.

Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, 2 malaikat Mungkar dan Nakir, datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki kacak ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah. Tapi lelaki kacak itu berkata,
Dia adalah temanku, dia adalah kawanku. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun. Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga.'

Selepas itu dia berpaling pada temannya yang meninggal dan berkata,'Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih.'

Selepas soal siasat selesai, lelaki kacak mengatur untuknya daripada Al-Mala'ul A'laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi bauan kesturi

Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda :'Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada Quran, mahupun dari nabi atau malaikat.'

Sila sebarkan Hadis ini kepada semua .......kerana

'Sampaikan pengetahuan dari ku walaupun hanya satu ayat.'




Kemeriahan Malam 7 likur


BILA menyebut sambutan Aidilfitri, selain ketupat, lemang dan rendang, memang raya terasa kurang meriah tanpa pelita yang menghiasi halaman rumah.

Umumnya, pelita raya adalah bekas bulat kecil pelbagai warna yang diisi minyak tanah dan sumbu. Lazimnya, ia mula dipasang seminggu sebelum Aidilfitri atau lebih dikenali sebagai malam tujuh likur.

Namanya mungkin berbeza di antara satu tempat dengan tempat yang lain. Orang Sarawak memanggilnya tuntung, manakala di Sabah di panggil susul. Bagi penduduk bandar lebih selesa mengenalinya sebagai pelita hiasan manakala penduduk di Perak pula menggelarkannya sebagai panjut.

Panjut bukan sekadar pelita yang diperbuat daripada buluh dan digantung pada kayu pacak. Lebih menarik, ia digubah secara kreatif oleh penduduk setempat dengan pelbagai bentuk yang disukai seperti kubah masjid, bintang, tanglung, bulan dan lain-lain.

Pada malam 27 Ramadan, pasti akan diadakan pertandingan panjut antara kampung. Rutin ini bukan sahaja menghidupkan suasana Aidilfitri tetapi memupuk muafakat di kalangan masyarakat setempat.

Seminggu sebelum hari raya kita akan dapat menyaksikan orang-orang kampung berpusu-pusu masuk ke dalam hutan untuk mencari buluh untuk dibuat panjut. Buluh yang telah diambil akan dibuat lubang untuk di isi minyak tanah atau diesel.

Panjut yang sudah siap itu kemudiannya digantung di hujung paku pada batang kayu yang dipacak di sekeliling rumah.

Balik Kampung


Balik Kampung

Perjalanan jauh tak ku rasa
Kerna hati ku melonjak sama
Ingin berjumpa sanak saudara
Yang selalu bermain di mata

Nun menghijau gunung ladang dan rimba
Langit nan tinggi bertambah birunya
Deru angin turut sama berlagu
Semuanya bagaikan turut gembira

Balik kampung oh oh...( 3X )
Hati girang
Ho ho... Balik kampung (3X)
Hati girang

Terbayang wajah-wajah yang ku sayang
Satu-satu tersemat di kalbu
Pasti terubat rindu di hati
Menyambut kepulangan ku nanti

Lagu Balik kampung ini begitu sinonim kepada kita semua terutamanya kepada anak rantau yang nun jauh diperantauan. Kepada Warga SKPS yang ingin balik ke kampung halaman, berhati-hati ketika balik memandu. Pastikan Kenderaan anda telah diservis untuk memastikan perjalanan anda berjalan dengan lancar. Dikesempatan ini Warga SKPS ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Lebaran yang dijangka jatuh pada hari ahad 20 September 2009 . Maaf Zahir dan Batin.

Wednesday, September 16, 2009

Hari Penutupan Bulan Kemerdekaan ke 52

Hari penutupan bulan kemerdekaan telah pun selesai dilaksanakan oleh semua warga SKPS yang bermula pada jam 7.00 pagi hingga 9.00 pagi bertempat di Dewan CUN. Tahniah diucapkan kepada semua kerana acara berjalan dengan lancar. SYABAS!!

Sunday, September 13, 2009

"Patuhi Had Laju, Kelajuan Boleh Membunuh"


Rasanya tinggal seminggu sahaja lagi ramadhan akan pergi meninggalkan kita. Kini muncul pula bulan syawal. Mesti ada yang tengah sibuk membeli tiket untuk pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut bersama dengan orang tersayang. Al maklumlah raya cuma setahun sekali. Memandangkan raya semakin menghampiri kita, jalanraya pastinya akan menjadi sesak. "Patuhi Had Laju, Kelajuan Boleh Membunuh" adalah tema baru bagi Kempen Bersepadu musim perayaan tahun ini yang bertujuan menggesa pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan had laju.

Kempen ini turut mengekalkan dua tema utama iaitu "Pandu, Tunggang dan Jalan Dengan Selamat" dan "Penggunaan Pengangkutan Awam Mengurangkan Kemalangan" dengan harapan agar pengguna jalan raya sentiasa mengingati petua keselamatan jalan raya seperti jarak keselamatan dan kaedah memotong dengan selamat ketika berada di jalan raya.

Kepada penunggang motosikal dipohon untuk pulang pada waktu siang dan bukan pada waktu malam ini adalah kerana risiko kemalangan maut berlaku pada waktu malam.

Pelaksanaan dan tumpuan khusus kempen yang diadakan sempena musim perayaan ini kerana bilangan kenderaan yang berada di jalan raya biasanya meningkat dua kali ganda iaitu hampir 1.3 juta hingga 1.4 juta kenderaan sehari berbanding kepadatan trafik daripada 700,000 hingga 800,000 kenderaan pada hari biasa.

Kenderaan Barangan dilarang menggunakan jalan raya pada 18, 19 Sept dan 26, 27 Sept dan Pemantauan Operasi Bas Ekspres oleh Jabatan Pengangkutan Jalan di depoh dan 35 lokasi terminal bas.

Langkah-langkah intervensi lain merangkumi inisiatif seperti pengurangan had laju maksimum sebanyak 10km/j bagi Jalan Persekutuan dan Negeri semasa Ops Sikap dijalankan.

Friday, September 11, 2009

Majlis Khatam AL-Quran


Pada petang ini, Majlis Khatam Al-Quran akan bermula pada jam 4.00 petang di dewan CUN. Warga SKPS dijemput hadir pada petang ini . Sekian

Thursday, September 10, 2009

Pemberian Khas untuk semua penjawat awam (Kakitangan sokongan)


Syukur Alhamdulillah tahun ini kerajaan telah memberi bantuan khas kewangan kepada kakitangan sokongan sebanyak RM500 yang telah diumumkan semalam.Dengan pemberian khas ini dapatlah kita membeli barang keperluan untuk menyambut hari lebaran yang bakal tiba. Apa-apa pun Terima kasih kita ucapkan kepada Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib razak. Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap, kerajaan akan menggantikannya dengan bonus yang lebih tinggi tahun depan.
Kira-kira 860,000 penjawat awam akan menerima bayaran khas kewangan itu yang akan dibuat sebanyak dua kali iaitu RM250 dibayar sebelum Aidilfitri manakala bakinya pada Disember. Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pemberian khas itu yang dibuat selepas mengambil kira kebajikan penjawat awam dalam kumpulan itu terutama bagi meringankan beban kos persediaan musim perayaan dan persekolahan akhir tahun ini. Implikasi kewangan kepada kerajaan bagi bayaran itu adalah sebanyak RM430 juta.

Wednesday, September 9, 2009

Terima Kasih

Salam ramadhan kepada semua pengunjung sk pekan satu w.p labuan. Terima kasih kerana mengunjungi laman blog kami, diharap semuanya mendapat infomasi berguna mengenai sekolah, perkomputeran, agama juga hal ehwal semasa. Kami akan terus memperbaiki setiap kelemahan yang masih ada untuk memantapkan lagi blog sekolah kebangsaan pekan satu. Teruskan menyokong laman blog kami. Sekian dan Terima Kasih.

Monday, September 7, 2009

Puasa Oh Puasa

DEFINISI PUASA

Puasa ialah perkataan bahasa Melayu yang diterjemahkan dari kata bahasa Arab “as-saum” atau “as-siyam” Dari segi bahasa ia bererti menahan diri dari sesuatu perkara. Pada pengertian syarak ia bermaksud menahan diri dari makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkannya mulai dari terbit fajar sadiq sehinggalah ke waktu matahari terbenam.

JENIS PUASA

Puasa terbahagi kepada empat jenis, iaitu puasa wajib, puasa sunat, puasa makruh da
n puasa haram. Puasa wajib ialah puasa pada bulan Ramadhan, puasa nazar dan puasa kifarat iaitu kifarat (denda) kerana membunuh orang atau kerana bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadhan.

Puasa sunat di antaranya ialah puasa enam hari pada bulan syawal, puasa hari Arafah iaitu pada sembilan haribulan Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan haji, puasa hari Asyurah iaitu pada sepulah haribulan Muharram, puasa pada bulan Rejab dan Shaaban, puasa pada hari Isnin dan Khamis dan lain-lain.

Puasa makruh ialah puasa yang dilakukan terus menerus sepanjang tahun kecuali pada hari-hari yang diharamkan dan puasa pada hari Jumaat sahaja. Puasa haram ialah puasa pada dua hari raya iaitu hari raya puasa dan hari raya haji dan puasa pada Tasyrik, iaitu hari kesebelas, duabelas dan tigabelas Zulhijjah dan juga pada hari syak iaitu hari yang tidak dapat dipastikan sama ada sudah masuk bulan Ramadhan atau belum.

RUKUN PUASA

Rukun puasa ada dua perkara, iaitu: Berniat puasa, Niat puasa hendaklah dilakukan pada tiap-tiap malam sebelum hari puasa. Walaupun begitu ia boleh juga dilakukan pada malam sebelum hari pertama puasa. Contoh lafaznya ialah “ aku berniat berpuasa esok hari dan hari-hari seterusnya sepanjang bulan Ramadhan, wajib atasku kerana Allah Taala”. Tetapi jika ia tertinggal puasa, ia hendaklah berniat semula selepas hari yang ditinggalkan itu. Bagaimanapun sebaik-baik niat puasa ialah dilakukan pada tiap-tiap malam semasa memulakan makan sahur.

Menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa mulai dari waktu terbit fajar (masuk waktu subuh) sehingga terbenam matahari (masuk waktu maghrib).

SYARAT WAJIB PUASA

1. Beragama Islam
2. Baligh atau sampai umur
3. Berakal sempurna
4. Berkuasa mengerjakannya

SYARAT SAH PUASA

1. Islam, Orang-orang bukan Islam tidak sah puasanya
2. Mumaiyiz, yakni mengerti perbezaan yang baik dengan yang buruk atau yang bersih dengan yang kotor
3. Suci daripada haid dan nifas bagi perempuan. Orang yang berhaid dan yang sedang berdarah nifas tidak sah puasa, tetapi wajib mengadakan puasa yang tertinggal itu
4. Puasa pada hari-hari yang dibenarkan sahaja. Tidak sah puasa pada dua hari raya iaitu hari raya puasa dan hari raya haji serta hari-hari tasyrik iaitu dari 11 hingga 13 haribulan Zulhijjah

PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

1. Niat membatalkan puasa. Berniat untuk berbuka atau membatalkan puasa dengan sengaja dan bersungguh-sungguh boleh membatalkan puasa sekalipun ia tidak makan atau minum atau tidak melakukan sesuatu yang boleh membatalkan puasa.

2. Makan atau minum dengan sengaja. Orang yang makan, minum atau merokok dengan sedar dan sengaja batal puasanya. Sekiranya perbuatan itu dilakukan dengan tidak sengaja atau terlupa, tidak batal puasanya dengan syarat ia segera meluahkan makanan atau minuman itu apabila ia sedar bahawa ia sedang berpuasa.

3. Muntah dengan sengaja. Muntah dengan sengaja bererti muntah yang berlaku kerana perbuatan sendiri, bukan kerana keadaan seperti mabuk dan sebagainya. Jika termuntah tanpa sengaja tidaklah membatalkan puasa.

4. Bersetubuh. Orang yang melakukan persetubuhan dengan sengaja dalam masa puasa, selain terbatal puasanya, ia diwajibkan membayar kifarat (denda). Kifaratnya ialah memerdekakan seorang hamba. Jika ia tidak berupaya, ia hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut. Sekiranya ia tidak berupaya juga, ia hendaklah memberi makan kepada enam puluh orang miskin atas kadar sekali seorang dengan nilai yang sepatutnya. Seseorang yang serta merta menghentikan persetubuhannya sebaik sahaja terbit fajar (masuk waktu subuh), sah puasanya. Tetapi keadaan ini hendaklah dijauhi bagi mengelakan terbatalnya puasa dan terkena kifarat.

5. Keluar mani dengan sengaja. Mengeluarkan mani dengan sengaja seperti dengan tangan, menonton gambar lucah atau lain-lain yang boleh mengeluarkan mani adalah membatalkan puasa. Walaubagaimanapun, jika mani terkeluar disebabkan bermimpi atau berkhayal tidaklah membatalkan puasa.

6. Keluar darah haid atau nifas. Sekiranya seseorang perempuan datang haid atau bersalin dan keluar darah nifasnya ketika ia sedang berpuasa maka batallah puasanya.

7. Gila. Jika kegilaan itu datang pada siang hari, batallah puasanya.

8. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan. Memasukkan sesuatu benda secara sengaja ke dalam rongga badan seperti hidung, dubur dan telinga adalah membatalkan puasa.


ORANG YANG DIHARUSKAN BERBUKA PUASA

1 Orang Sakit. Seseorang yang tidak berupaya untuk meneruskan puasa kerana sakit atau sekiranya ia berpuasa juga akan menambahkan kesakitannya atau melambatkan sembuh penyakitnya. Ia dibolehkan berbuka dan wajib menggantikannya (qada)

2 Orang yang sedang dalam perjalanan jauh. Orang yang sedang musafir atau dalam perjalanan jauh iaitu tidak kurang daripada dua marhalah kira-kira 80.640 kilometer atau 50.086 batu harus berbuka puasa. Puasa yang ditinggalkan itu wajib diqada.

3 Orang yang uzur. Orang-Orang tua yang sudah lemah, orang-orang yang lemah kerana penyakit yang tidak ada harapan untuk sembuh atau kerana semulajadinya lemah diharuskan berbuka atau tidak berpuasa langsung. Tiap-tiap hari yang ditinggalkan itu wajib dibayar fidyah, iaitu satu cupak atau ¾ liter makanan yang boleh mengenyangkan bagi sesebuah negeri berkenaan. Orang-orang ini tidak diwajibkan mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu.

4 Orang hamil. Orang yang sedang hamil dan bimbang kalau ia berpuasa akan membahayakan dirinya, ia diharuskan berbuka, tetapi wajib diqadakan puasa yang ditinggalkan itu. Sekiranya ia bimbang akan membahayakan kandungannya seperti takut terjadi keguguran, ia harus berbuka tetapi wajib mengqadakannya serta membayar fidyah dengan secupak beras atau makanan yang mengenyangkan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan itu.

5 Ibu yang menyusukan anak. Orang yang menyusukan anak juga harus berbuka puasa dan mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu kalau ia bimbang dengan berpuasa akan menyebabkan mudarat kepada dirinya. Kalau ia bimbang memberi mudarat kepada bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu, maka ia diwajibkan mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu serta membayar fidyah secupak makanan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkannya.

6 Wanita yang haid atau nifas. Wanita yang didatangi haid atau nifas wajib berbuka puasa kerana puasanya batal. Ia wajib mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu.

7 Orang yang pitam sepanjang hari. Orang yang pitam sepanjang hari harus berbuka puasa kerana puasanya batal. Ia wajib mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu.

8 Orang gila. Orang gila juga harus berbuka puasa kerana puasanya batal. Ia juga wajib mengqadakan puasa yang tertinggal itu.

PERKARA YANG DISUNATKAN BAGI ORANG BERPUASA

1. Bersahur walaupun sedikit makanan atau minuman pada waktu akhir malam. Tujuannya ialah supaya menambahkan kekuatan berpuasa.

2. Menyegerakan berbuka setelah yakin matahari telah terbenam.

3. Berdoa sewaktu berbuka dan maksud doa : “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau aku berpuasa dan dengan rezeki Engkau aku berbuka, dahaga hilang dan urat-urat telah menyedut makanan, mudah-mudahan Allah menetapkan ganjaran-Nya”

4. Berbuka dengan buah korma atau sesuatu yang manis atau dengan air.

5. Memberi makanan atau minuman kepada orang untuk berbuka puasa.

6. Memperbanyakkan amalan kebajikan seperti bersedekah dan sebagainya terhadap kaum kerabat yang lemah dan fakir miskin.

7. Memperbanyakkan membaca al-Quran dan berselawat ke atas Rasulullah s.a.w. sama ada pada waktu malam atau siang. Ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadhan akan diberi pahala yang berlipat ganda.

8. Menjauhkan diri daripada percakapan-percakapan yang tidak berguna dan buruk seperti mengumpat, mencela dan sebagainya. Memang telah dimaklumi bahawa perkara-perkara itu dilarang, tetapi perkara-perkara seperti itu jika dilakukan pada bulan yang mulia ini dosanya lebih besar.

9. Menyucikan diri (mandi junub) bagi orang yang berhadas besar sebelum naik fajar.

PERKARA YANG MAKRUH BAGI ORANG BERPUASA

1. Berbekam atau mengeluarkan darah penyakit melalui kulit kepala.
2. Memamah sesuatu yang tidak boleh hancur.
3. Menyedut air yang berlebihan ketika berwuduk.
4. Mengucup isteri.
5. Masih dalam keadaan berjunub semasa sudah masuk waktu subuh.
6. Memberus gigi atau berkumur-kumur selepas tergelincir matahari.

BEBERAPA MASALAH MENGENAI PUASA

1.Melewatkan Qada Puasa

Orang yang melewatkan qada puasanya sehingga sampai puasa berikutnya, sedang ia mampu untuk berbuat demikian, ia wajib mengqadakannya serta membayar fidyah, iaitu memberi makan fakir miskin dengan kadar satu hari secupak beras atau yang sama dengannya.

2.Junub Sampai Pagi Hari Puasa

Ada orang menyangka bahawa berkeadaan junub sampai terbit fajar hari puasa membatalkan puasa. Sebenarnya sangkaan tersebut tidak benar. Tetapi sebaik-baiknya (sunat) orang yang berjunub segera mandi sebelum terbit fajar, kerana dikhuatiri terjadi hal yang membatalkan puasa.

3.Menggantikan Puasa Orang Lain

Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sebab uzur, kemudian ia meninggal dunia sebelum sempat mengqadanya, umpamanya uzur yang terus menerus sampai mati, ia tidak berdosa. Puasa yang ditinggalkan itu tidak wajib diqada dan tidak pula wajib fidyah. Sekiranya ia meninggal dunia sesudah ada kemungkinan untuk mengqada, tetapi tidak dilakukannya, keluarganya wajib mengqada puasa yang ditinggalkan itu. Hal ini berdasarkan hadis dari Aisyah r.a. yang bermaksud..

Rasulullah s.a.w. bersabda ; Sesiapa yang mati dan meninggalkan kewajipan puasanya, hendaklah walinya berpuasa untuk menggantikannya” (Riwayat Bukhari & Muslim)

4.Makan Kerana Lupa Atau Dipaksa

Orang yang termakan pada siang hari puasa atau menyangka belum naik fajar atau menyangka matahari telah terbenam, puasanya tetap sah dengan syarat ia hendaklah terus berhenti dan meluahkannya sebaik sahaja ia sedar. Demikian juga orang yang dipaksa makan.

5.Mimpi Berjimak Dan Keluar Mani

Orang yang bermimpi berjimak semasa ia tidur di siang hari, tidak batal puasanya. Demikian juga jika air maninya keluar kerana mengkhayalkan persetubuhan, tidak batal juga puasanya.

6.Mandi Atau Menyelam Kerana Panas

Orang yang mandi atau menyelam kerana kesangatan panas, tidak merosakkan puasanya.

7.Merasa Makanan

Merasa makanan dengan lidah dan tidak ditelan tidak membatalkan puasa.

DENDA-DENDA BAGI ORANG YANG TIDAK PUASA

Terdapat empat jenis denda yang dikenakan kepada orang-orang yang tidak berpuasa Ramadhan.

1. Kifarat berserta qada
2. Fidyah berserta qada
3. Fidyah
4. Qada

Kifarat Berserta Qada

Denda ini dikenakan kepada orang lelaki yang membatalkan puasanya melalui persetubuhan. Persetubuhan yang dimaksudkan ialah dengan memasukkan kemaluannya melepasi had tertentu (hasyafah) ke dalam faraj (qubul atau dubur) sama ada manusia atau haiwan, yang masih hidup atau telah mati, lelaki atau perempuan sekalipun tidak keluar mani. Walaubagaimanapun, persetubuhan orang-orang yang berpuasa seperti berikut hanya diwajibkan qada tanpa kifarat, iaitu :

1 Orang yang bersetubuh dengan memasukkan kemaluan ke dalam faraj sekadar belum sampai had yang ditentukan.
2 Orang yang disetubuhi.
3 Orang yang bersetubuh dalam keadaan lupa atau tidak sedar.
4 Orang yang tidak tahu batalnya puasa dengan kelakuan tersebut.
5 Kanak-kanak yang belum baligh.
6 Orang-orang yang berpuasa tanpa niat.
7 Orang-orang dalam musafir.
8 Orang sakit, dengan harapan persetubuhan itu akan menyembuhkan sakitnya.
9 Orang yang yakin ketika persetubuhannya itu masih malam hari, atau yakin masuk waktu malam sedangkan sebenarnya masih siang.
10 Orang yang berpuasa selain dari puasa Ramadhan seperti puasa nazar, puasa kifarat dan puasa qada sekalipun qada bagi puasa Ramadhan.

Kifarat puasa ada tiga peringkat. Pertamanya ialah memerdekakan seorang hamba yang beragama Islam, sempurna sifat dan tubuh badannya. Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut. Sekiranya terputus walaupun sehari, hendaklah diulangi puasanya semula. Jika tidak berupaya juga, hendaklah memberi makan fakir miskin seramai 60 orang dengan kadar secupak seorang. Kifarat puasa wajib ditunaikan, tetapi kewajipan tersebut terhapus sekiranya seseorang itu gila atau mati.

Fidyah Berserta Qada

Denda ini dikenakan kepada tiga golongan, iaitu orang yang melengah-lengaahkan qada puasa wajib tanpa apa-apa keuzuran sehingga masuk bulan Ramadhan pada tahun berikutnya dan orang-orang perempuan hamil atau sedang menyusukan anak yang bimbang tentang keselamatan bayi atau anaknya sekiranya ia berpuasa. Kadar fidyah ialah secupak makanan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Di samping fidyah itu, puasa yang ditinggalkan itu wajib diqada.

Fidyah

Fidyah dikenakan kepada orang yang meninggalkan puasa-puasa wajib seperti puasa Ramadhan (seperti yang telah diterangkan) atau puasa nazar, puasa kifarat orang yang mati tanpa sebarang sakit atau uzur sebelum sempat mengqadakannya. Bagi orang yang telah mati itu menjadi kewajipan kepada keluarganya terutama walinya untuk membayar fidyah bagi simati sebanyak satu cupak makanan bagi tiap-tiap satu hari puasa yang ditinggalkan.

Qada

Qada ialah mengulangi berpuasa kerana menggantikan puasa Ramadhan yang ditinggalkan oleh sebab-sebab tertentu. Puasa qada boleh ditunaikan oleh orang lain dengan syarat orang yang berkenaan telah meninggal dunia dan tidak sempat mengqadakan puasanya sedang dia berkemungkinan mengqadakannya. Oleh yang demikian hendaklah diqadakan oleh keluarganya.


HIKMAH PUASA

1. Melahirkan kesyukuran terhadap Allah. Semua ibadat yang difardhukan mempunyai erti terima kasih kepada Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t. telah melimpahkan berbagai nikmat yang tidak terbatas banyaknya kepada manusia. Sebagai tanda terima kasih itulah maka manusia, khususnya yang beragama Islam sewajibnya melaksanakan kefardhuan-kefardhuan yang telah ditentukan.

2. Puasa dapat membentuk seseorang itu menjadi penyabar, tabah menanggung kesusahan dan penderitaan. Di dalam kehidupan manusia didunia ini, kesusahan dan penderitaan adalah perkara lumrah yang lazimnya ditempuhi oleh setiap orang. Orang-orang yang memiliki sifat sabar akan mudah menguruskan soal-soal kehidupannya dengan matang dan teratur. Selain mendapat faedah untuk diri sendiri, orang-orang yang memiliki sifat sabar akan dikasihi Allah.

3. Puasa juga dapat melatih seseorang itu mengawal nafsu buas dan ammarah yang suka melakukan kejahatan. Melalui puasa seseorang itu dapat membentuk personalitinya menjadi seorang yang baik dan dihormati.

4. Puasa dapat menghindar seseorang itu daripada bersikap tamak, gelojoh dan mementingkan diri sendiri. Sifat-sifat tersebut amat dikeji dan membawa kepada kerugian dan keburukan.

5. Puasa dapat membentuk seseorang itu menjadi seorang yang amanah di dalam amal kehidupannya sehari-hari. Ini berlaku kerana seseorang yang berpuasa akan patuh kepada peraturan-peraturan puasa yang telah ditetapkan seperti menahan makan, minum dan lain-lain. Ia tidak akan melakukan semua itu sama ada di hadapan orang atau secara sembunyi. Latihan sebegini sudah tentu membentuknya menjadi seorang yang amanah.

6. Puasa dapat menanam rasa belas kesihan terhadap seseorang yang dalam kesusahan atau kemiskinan. Seseorang yang telah merasa sakit dan pedih kerana berlapar, akan dapat mengukur kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh orang-orang fakir dan miskin. Oleh itu orang-orang fakir dan miskin, yang hidup melarat akan sentiasa ditolong bantu oleh orang yang berada. Kesedaran dan keadaan ini akan melahirkan keadilan dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat.

7. Puasa memberi kesan yang baik kepada kesihatan tubuh badan. Ahli-ahli perubatan pada keseluruhannya telah mengakui bahawa puasa memberi kesan yang baik terhadap sesetengah penyakit. Para doktor juga berpendapat bahawa setiap manusia perlu sekali sekala berpuasa sekalipun ia tidak berpenyakit.

8. Puasa dapat mengujudkan perpaduan di kalangan umat. Apabila tibanya bulan Ramadhan, setiap umat Islam menyedari bahawa semua umat Islam di dunia ini akan berpuasa. Umat Islam diseluruh pelusuk dunia ini mengamalkan ibadat yang serupa sepertinya juga. Keadaan in sudah tentu mencetuskan dihati sanubarinya dengan rasa kesatuan dan kesamaan. Dengan ini terjalinlah rasa muhibah, kasih sayang, persaudaraan dan ingin tolong menolong antara satu dengan lain.

9. Sebagai kemuncaknya, puasa dapat membentuk seseorang itu menjadi muslim mukmin yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. Kemuncak ini akan dapat dicapai apabila seseorang itu benar-benar tekun dan ikhlas menjalani ibadat puasa ini tanpa ada tujuan yang lain selain semata-mata kerana Allah s.w.t.

SEMBAHYANG TARAWIH

Sembahyang Tarawih ialah sembahyang sunat yang dikhususkan penunaiannya pada bulan Ramadhan sahaja. Para ulama terdahulu membaca al-Quran dari awal hingga akhir di dalam sembahyang Tarawih. Setiap malam dibacanya sekadar yang termampu sampai mereka khatamkan al-Quran itu pada malam terakhir Ramadhan.

Sesiapa yang tidak berpeluang untuk mengikuti jejak langkah para ulama salaf itu, janganlah pula sampai terlalu meringan-ringankan ibadat ini kerana ganjaran dan faedahnya sangat besar. Ibadat ini kerana ganjaran dan faedahnya sangat besar. Ibadat ini hendaklah dilakukan dengan sempurna, sama seperti sembahyang-sembahyang yang lain di mana mesti ditunaikan dengan baik berdirinya, bacaannya, rukuk dan sujudnya, khusyu’ dan tawaduknya dan juga terhadap semua rukun-rukun yang lain serta tertib-tertibnya.

IKTIKAF

Iktikaf ialah ibadat sunat yang dituntut oleh Islam. Iktikaf ialah berdiam atau berhenti di dalam masjid. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan sangat digalakkan diamalkan pada bulan Ramadhan terutamanya pada sepuluh malam terakhir.

Iktikaf mempunyai empat rukun

1. Niat. Kalau iktikaf yang dinazarkan wajib berniat fardhu supaya berbeza dengan yang sunat.
2. Hendaklah dilakukan di dalam masjid. Tidak sah iktikaf di tempat lain selain dari masjid sekalipun tempat itu dijadikan tempat sembahyang jamaah seperti balai, madrasah atau surau.
3. Kadar diam atau berhenti ialah melebihi kadar tama’ninah.
4. Orang yang mengerjakan iktikaf itu mestilah Islam, berakal dan suci daripada hadas.

Perkara-perkara yang boleh memutuskan iktikaf ialah murtad, iaitu keluar dari Islam, mabuk atau hilang akal dan keluar haid atau nifas. Iktikaf menjadi batal apabila seseorang itu bersetubuh atau keluar dari masjid.

KEUTAMAAN SEPULUH HARI TERAKHIR DAN LAILATUL QADAR

Nabi Muhammad s.s.w. menggandakan amal dalam bulan Ramadhan lebih daripada bulan-bulan lain. Dalam bulan Ramadhan pula baginda lebih rajin beramal dalam masa sepuluh hari terakhir daripada keseluruhan bulan itu. Nyatalah tempoh tersebut mempunyai keutamaan dan fadhilatnya.

Para ulama berkata kemungkinan Lailatul Qadar berlaku pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari terakhir Ramadhan. Nabi Muhammad s.a.w. telah menganjurkan umat Islam supaya mencari malam Qadar tersebut, kerana orang yang beramal pada malam itu sangat besar ganjarannya dan diumpamakan sebagai lebih utama daripada seribu bulan, tidak kira sama ada ia mengetahui malam Qadar itu ataupun tidak.

Oleh itu setiap mukmin mestilah menyediakan dirinya untuk mencari malam tersebut bermula dari awal bulan lagi. Tidak bermakna hanya mencari-cari satu malam itu sahaja baru mahu beramal. Umat Islam sewajarnya memperbanyakkan amalan pada tiap-tiap malam pada bulan Ramadhan ganjarannya berlipat ganda jika dibandingkan dengan amalan pada bulan-bulan lain. Selain daripada itu amalan yang dilakukan setiap malam itu sudah pasti akan menemui satu malam yang dicari-cari itu.

Para ulama mempunyai pendapat masing-masing mengenai malam Qadar ini. Mengikut Imam Ghazali, malam ini boleh dikenali seperti berikut :

1. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau hari Rabu, maka Lailatul Qadarnya pada malam 29hb. Ramadhan.
2. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Isnin, maka Lailatul Qadarnya pada malam 21hb. Ramadhan.
3. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat, maka Lailatul Qadarnya pada malam 27hb. Ramadhan.
4. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Khamis, maka Lailatul Qadarnya pada malam 25hb. Ramadhan.
5. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Sabtu, maka Lailatul Qadarnya pada malam 23hb. Ramadhan.

Selain daripada tanda-tanda itu, Lailatul Qadar juga boleh dikenali dengan tanda-tanda lain seperti malam itu langitnya kelihatan suci bersih, bulannya bercahaya segar, terang benderang, udaranya nyaman, tidak sejuk tidak panas, manakala matahari diwaktu pagi memancarkan cahaya yang seimbang seperti cahaya bulan purnama. Sungguhpun panduan dan gambaran telah diberikan oleh para ulama, namun tarikh atau bila berlakunya Lailatul Qadar itu adalah sukar dipastikan. Inilah rahsianya supaya umat Islam bersungguh-sungguh beramal ikhlas kerana Allah s.w.t. mudah-mudahan akan memperolehi faedah malam yang berharga itu.

FIRMAN ALLAH

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu, Aku tidak sekali-kali mengkehendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak mengkehendaki supaya mereka memberi Aku makan, sesungguhnya Allah, Dialah yang maha pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh” (Adz-Dzaariyaat : 56-5

“Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dengan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya” (Asy-Syams : 7 – 10)

Tiap-tiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya” (Al-Muddatstsir : 3

“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu untuk bermain-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami, maka Maha Suci Allah raja yang sebenarnya tiada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) arasy yang mulia” (AL-Mukminun : 115-116)

“Barang siapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan” (An-Nuur : 52)

Sabda Rasulullah s.a.w.

“Berfikirlah tentang kejadian ciptaan Allah dan jangan kamu berfikir tentang zat Allah kerana kamu tidak dapat mentakdirkan (menentukan zat) Allah sebenarnya”

Nuzul Al-Quran


Malam al-Qadr Anugerah Ilahi


Tarikh tepat Nuzul al-Quran 24 Ramadan berdasarkan surah al-Qadr, ad-Dukhan

PERISTIWA agung dalam sejarah umat Islam yang berlaku pada Ramadan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran.

Perkara itu dinyatakan dalam al-Quran menerusi firman Allah yang bermaksud: "Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Friday, September 4, 2009

SEJARAH SEKOLAH


Sekolah Kebangsaan Pekan Satu,Wilayah

Persekutuan Labuan asalnya adalah S.K Pekan Labuan yang juga dikenali sebagai Sekolah Pokok Asam. Sekolah ini dibina pada tahun 1907. Tapak bangunan ini berdekatan dengan Pawagam Lido dan Kedai Buku Pustaka Melayu yang ada sekarang.

Guru Besar pertama sekolah ini ialah Allahyarham En. Zainal Ahmad. Memandangkan pembangunan yang pesat pada tahun 1952, sekolah ini telah dirobohkan dan dibina semula. Kedudukannya bersebelahan dengan Masjid Jamek An’Nur.

Sekolah ini mempunyai satu blok bangunan konkrit yang mempunyai tujuh buah bilik darjah dan bilik pentadbiran dengan murid seramai 200 orang. Pada tahun 1962 sebuah bilik tambahan telah dibina kerana pertambahan murid.
Pada tahun 1993 pula bilangan kelas semakin bertambah ekoran daripada pertambahan bilangan murid seramai 1250 orang. Manakala jumlah guru adalah seramai 58 orang dan kakitangan bukan mengajar seramai 5 orang.

Atas keprihatinan pihak Jabatan Pendidikan, iaitu pada tahun 1995, terbinalah satu blok bangunan Projek Kilat yang mempunyai 4 buah bilik darjah. Pada tahun yang sama juga didirikan bangunan untuk kanak-kanak Pendidikan Khas bermasalah pembelajaran dan bermasalah pendengaran yang beroperasi pada Julai 1996.

Di atas kepentingan dan keperluan semasa,Sekolah Kebangsaan Pekan Satu telah mengalami perubahan demi perubahan. Keadaan fizikalnya semakin dipertingkatkan dan mengalami pengubahsuaian. Elektrik, air dan telefon turut dibekalkan sebagai kemudahan di sekolah.

Dari kemudahan prasarana sehingga kepada kemudahan beriadah, turut dimanfaatkan di sekitar sekolah sebagai kemudahan dan penambahbaikan.

Pada 10hb Oktober 2001, bangunan yang sedia ada telah dirobohkan untuk dinaiktaraf. Pada 5 Jun 2002, S.K Pekan Satu telah diarahkan untuk berpindah ke S.K Pantai sementara menunggu pembinaan sekolah baru disiapkan. Tapak ini terletak di Pusat Bandar Labuan dan berhampiran dengan Masjid An-Nur.

Ia merangkumi keluasan tanah seluas 4.26 ekar. Bangunan yang baru ini menelan belanja 18.9 juta dan dijangka siap pada April 2004.



Pada tahun 1979, Jabatan Pendidikan Sabah telah menempatkan satu kelas Projek Khas Vl Yayasan Sabah hingga tahun 1986. Manakala pada tahun 1978 (Dalam Rancangan Malaysia Ke-3) bangunan konkrit tambahan telah dibina. Merangkumi 10 buah bilik darjah,4 unit tandas dan 2 bilik stor.

Pelbagai kemudahan telah disediakan seperti flat guru, rumah guru, klinik pergigian, padang permainan, taman susur, pusat sumber, kantin sekolah dan sebagainya. Bangunan ini dimanfaatkan sepenuhnya pada 26 Mei 1982 dan telah dirasnikan pada 12 Mac 1983 oleh Yang Berhormat En. Jamal Nordin (Wakil Rakyat).

Bangunan baru ini terdiri daripada 1 blok pentadbiran dan akademik, 1 blok kantin dan dewan serbaguna, 1 blok prasekolah dan 1 blok rumah guru. Kemudahan yang terdapat di sekolah ini adalah seperti bilik darjah, makmal, bengkel, kantin, dewan dan rumah guru. Sehingga ke hari ini, kira-kira 2 tahun, S.K. Pekan Satu masih menumpang di S.K. Pantai.

Tarikh milik tapak bagi bangunan baru SK Pekan Satu ialah pada 10 Oktober 2002. Bangunan ini telah siap dibina pada 9 April 2004. Nombor Lot pt bangunan ini ialah 207527133 WP Labuan. Tapak ini terletak di Pusat Bandar Labuan ,ia berhampiran dengan masjid An- Nur.Ia merangkumi keluasan tanah seluas 4.26 ekar.

Bangunan-bangunan lama dimusnahkan di mana 5 blok bangunan baru didirikan.Bangunan baru ini terdiri daripada 1 1 blok pentadbiran dan akademik ,1 blok kantin dan dewan serbaguna,1 blok pra sekolah dan 1 blok rumah guru.Kemudahan yang terdapat di sekolah ini adalah seperti bilik darjah,makmal,bengkel,kantin ,dewan dan rumah guru. Projek ini mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan dan nilai bagi kontrak ini adalah berjumlah RM18,900.000.00(Ringgit Malaysia Lapan Belas Juta Dan Sembilan Ratus Ribu Sahaja).

UNTUK MEMPERCEPATKAN INTERNET


Ingin mempercepatkan lagi Internet anda?

Sememangnya ramai antara kita sebagai pengguna ingin memiliki internet yang pantas agar masa untuk mencari sesuatu bahan menjadi lebih mudah dan cepat.

Disini saya akan menunjukkan cara-cara untuk membuat sedikit perubahannya:-

  1. Klik Start
  2. Klik Run
  3. Taip gpedit.msc
  4. kemudian klik Ok
  5. Setelah masuk klik Administrative Templates
  6. kemudian Klik Network
  7. setelah terbuka klik QoS Packet scheduler
  8. kemudian klik Limit Reservable Bandwidth
  9. Dan setelah terbuka ubah setting menjadi Enable
  10. Kemudian ubah Bandwidth Limitnya menjadi 0 (kosong)
  11. Klik Apply,ok
  12. Kemudian keluar dan Restart komputer
Selamat Mencuba.Sebarang kerosakkan adalah tanggungjawab anda sendiri, pihak kami tidak akan bertanggungjawab mengenai kerosakkan.

Mukadimah

Assalamualaikum.. Syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinNya, Blog Sekolah Kebangsaan Pekan Satu dapat dibangunkan. Harapan saya agar Blog ini dapat membantu mana-mana pihak yang ingin mengetahui serba sedikit infomasi terkini mengenai Sekolah Kebangsaan Pekan Satu.Laman Blog ini juga akan diperkembangkan dari masa ke semasa dengan memuatkan maklumat terkini mengenai program yang akan dijalankan.Untuk memberikan sedikit kelainan, laman blog ini akan menyelitkan Sudut IT,Sudut Agama dan sebagainya untuk dikongsi bersama.Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian anda melayari Blog kami. Semoga usaha kita bersama ini akan dapat melahirkan generasi yang cemerlang untuk negara.Sekian...
Nama Sekolah : Sekolah Kebangsaan Pekan Satu
Kod Sekolah : WBA1008
Gred Sekolah : Gred A
Jenis Sekolah : Bantuan Penuh Kerajaan
PENTADBIR 1. En. Jaafar Bin Matusin : Guru Besar 2. Pn. Norinnie Bt. Kassim : Penolong Kanan Pentadbiran 3. Pn. Faridah Bt. Hj. Zaini : Penolong Kanan HEM 4. Pn. Ruhaiah binti Jumat : Penolong Kanan Kokurikulum 5. En. Shawal Bin Abdul Rahman : Penolong Kanan Pend. Khas
Ketua Panatia
Bahasa Melayu : Pn. Zunikah Amboh Turuh
Bahasa Inggeris : Pn. Zainah Mohd Sobri
Matematik : Pn. Marinah Jaiob
Sains : Pn. Rostina Binti Mohd Kassim
Pend. Islam : En. Mohd Rais Bin Basman
Bahasa Arab : En. Sayuti Bin Zakaria
Bahasa Cina : Pn. Kong Teck Yieng
Pend. Seni Visual : Pn. Salmah Abd Rahman
Pend. Sivik dan Kewarganegaraan : Pn. Mariah Binti Moksin
Pend. Jasmani : En. Faishal Bin Mohammad
Pend. Kesihatan : Pn. Aldiana Aling
Kemahiran Hidup : Pn. Dayana Issu
Kajian Tempatan : Pn. Rosmah Mustapha
Pend. Moral : Pn. Khaniezainah Binti Kulah

Slogan Sekolah

PELAJARAN:
Proses menuntut ilmu duniawi dan kerohanian oleh murid-murid Sekolah Kebangsaan Pekan Satu,Wilayah Perseketuan Labuan untuk menjadi insan cemerlang berteraskan falsafah Pendidikan negara.
KUNCI:
Menjadikan ilmu sebagai alat yang digunakan untuk membuka dan mendahului bagi mencapai sesuatu tujuan secara menyeluruh dalam meneruskan hidup berilmu pengetahuan.
HIDUP:
Mengurus diri untuk menjadi insan yang bertangungjawab dan berkeupayaan mencapai keharmonian diri serta mampu memberi sumbangan terhadap individu, masyarakat dan negara secara global.

MISI SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Pekan Satu W.P Labuan Komited Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti

VISI SEKOLAH

VISI : S.K. Pekan Satu mengamalkan budaya Lestari sepanjang masa.