BILA menyebut sambutan Aidilfitri, selain ketupat, lemang dan rendang, memang raya terasa kurang meriah tanpa pelita yang menghiasi halaman rumah.
Umumnya, pelita raya adalah bekas bulat kecil pelbagai warna yang diisi minyak tanah dan sumbu. Lazimnya, ia mula dipasang seminggu sebelum Aidilfitri atau lebih dikenali sebagai malam tujuh likur.
Namanya mungkin berbeza di antara satu tempat dengan tempat yang lain. Orang Sarawak memanggilnya tuntung, manakala di Sabah di panggil susul. Bagi penduduk bandar lebih selesa mengenalinya sebagai pelita hiasan manakala penduduk di Perak pula menggelarkannya sebagai panjut.
Panjut bukan sekadar pelita yang diperbuat daripada buluh dan digantung pada kayu pacak. Lebih menarik, ia digubah secara kreatif oleh penduduk setempat dengan pelbagai bentuk yang disukai seperti kubah masjid, bintang, tanglung, bulan dan lain-lain.
Pada malam 27 Ramadan, pasti akan diadakan pertandingan panjut antara kampung. Rutin ini bukan sahaja menghidupkan suasana Aidilfitri tetapi memupuk muafakat di kalangan masyarakat setempat.
Seminggu sebelum hari raya kita akan dapat menyaksikan orang-orang kampung berpusu-pusu masuk ke dalam hutan untuk mencari buluh untuk dibuat panjut. Buluh yang telah diambil akan dibuat lubang untuk di isi minyak tanah atau diesel.
Panjut yang sudah siap itu kemudiannya digantung di hujung paku pada batang kayu yang dipacak di sekeliling rumah.
No comments:
Post a Comment